10/10/2013- Hari ini sewaktu menuju ke dewan kuliah Fakulti Allied Health Sciences, saya terserempak dengan seorang wanita yg duduk di atas sebuah kerusi roda. Entah mengapa tergerak hati ini utk menegur dan menyapanya. Oleh kerana kulitnya putih bersih seperti 'foreigner'lain saya pun menyapanya di dalam Bahasa Inggeris. Sambil menggelengkan kepalanya dan tersenyum, dia memberitahu bahawa dia tidak faham apa yang diperkatakan. Tersengeh lebar saya dibuatnya. Tangan saya pantas menghulurkan salam dan memohon maaf. Sambil berbual saya memerhatikan keadaan fizikal wanita tersebut dengan ekor mata. Posisi kedua-dua kaki yang sepatutnya lurus, telah bengkok ke dalam. Di tangannya ada jeruk kering di dalam plastik dan dia terus mempelawa saya. Apabila saya menolak dengan baik, dia mengangkat plastik jeruk buah kering tersebut dengan kedua-dua belah tangannya. Barulah saya sedar jari jemarinya tidak lagi berfungsi penuh sepertimana kita orang biasa. Walaupun hati kecil tidak sampai hati untuk bertanyakan dengan terperinci kecederaan yang dia alami, saya kuatkan semangat untuk bertanya apa yang telah berlaku. Menurutnya pada tahun 2004, dia mengalami kemalangan jalanraya yang sangat dahsyat melibatkan suami dan anaknya yang pada waktu itu berumur 6 bulan. Bayinya tercampak keluar tetapi dengan kuasa Allah terselamat walaupun mengalami kecederaan teruk di kepala. Keadaannya sangat parah sehinggakan tiada siapa yang menyangka yang dia akan terus hidup. Tidak pula saya bertanyakan keadaan suaminya sebab perasaan sebak mulai menyelubungi saya. Walaubagaimanapun, timbul perasaan ingin tahu keadaan anaknya. Anaknya Aisyah yang kebetulan sama dengan nama anak saya,sudah berumur 9 tahun dan sekarang berada di dalam darjah 3. Dia bersekolah di sekolah rendah berhampiran dengan tempat kerja suami. Rupa-rupanya Aisyah kini dibela suaminya kerana dia tidak mampu untuk menjaganya sendiri.
No comments:
Post a Comment